Tertuduh, Tan Soo Lian, 33, dan Chye Elik, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan, Soo Lian didakwa memberi suapan wang tunai RM50 kepada anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Segamat sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan ke atasnya yang memandu sebuah kenderaan bercermin gelap.

Kesalahan tersebut dilakukan di Jalan Pee Kang Hai, Segamat kira-kira pukul 11 malam, 14 Februari lalu.

Chye Elik pula dituduh memberi suapan RM50 kepada seorang anggota polis peronda lebuh raya sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan ke atasnya yang memandu sebuah kenderaan dengan cukai jalan dan insurans tamat tempoh.

Tan Soo Lian dan Chye Elik
Tan Soo Lian, 33, (kanan) dan Chye Elik, 26, (kiri) dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memberi suapan kepada dua anggota penguat kuasa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN ONLINE/AISYAH MAZALAN

Kesalahan berkenaan dilakukan di Kilometer 164, Lebuh Raya Ayer Keroh-Pagoh kira-kira pukul 5.30 petang, 31 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. - UTUSAN ONLINE