MELAKA 25 Julai - Bekas Pengurus Eksekutif serta Pengurus Unit Pentadbiran dan Kewangan di Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (Misdec) dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM200,000 dengan dua orang penjamin setiap seorang selepas direman bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Mohd. Anuar Ostadi membenarkan dua beranak yang masing-masing berumur 76 dan 43 tahun itu dibebaskan setelah tempoh reman terhadapnya selama tujuh hari berakhir hari ini.
Terdahulu, kedua-dua suspek terbabit dibawa ke mahkamah tersebut kira-kira pukul 10 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.
Pada 11 Julai lalu, kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam salah guna kuasa sejak tahun 2014 hingga tahun 2015 dan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Mereka direman selama tujuh hari bermula 12 Julai lalu sebelum tempoh reman terhadap mereka dilanjutkan selama tujuh hari lagi yang berakhir hari ini. - UTUSAN ONLINE