Majistret Zilfinaz Abbas menjatuhkan hukuman itu terhadap dua remaja tersebut selepas mereka mengaku bersalah memasukkan dadah je­nis ganja ke­ dalam ba­dan di tandas pejabat Baha­gian­ Perjudian, Maksiat dan Kongsi Ge­lap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, kira-kira pukul 11.35 pagi, 16 September lalu.

Mahkamah turut mengenakan bon RM5,000 tanpa cagaran terhadap setiap tertuduh, selain mereka diperintah melapor diri kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dua kali sebulan selama dua tahun dengan ditemani ibu mereka.

Kedua-dua beradik itu yang diwakili peguam, Haijan Omar juga diperintah menjalani hukuman pen­jara bermula dari tarikh tangkap pada 16 September lalu.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 serta pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan seorang remaja berumur 16 tahun dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan memasukkan dadah jenis sama ke dalam badan di tempat, masa dan tarikh sama.

Peguam, Noor Svetlana Mohd. Noor Nordin yang mewakili kanak-kanak terbabit berkata, pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap anak guamnya itu ekoran laporan patologi dari Makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan keputusan negatif.

“Keluarga tertuduh (anak gu­am) sangat bersyukur kerana ka­nak-kanak itu terlalu muda dan tidak terbabit secara langsung,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Bagaimanapun tertuduh juvenil berusia 16 tahun itu tidak boleh dibebaskan kerana menghadapi tuduhan membunuh dalam kes kebakaran tersebut.

Dalam pada itu, Zilfinaz menetapkan 5 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes melibatkan seorang lagi tertuduh berusia 16 tahun selepas remaja itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Di mahkamah berasingan, Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 3 Januari tahun depan untuk sebutan semula bagi kes dua remaja berusia 16 tahun yang didakwa bersama-sama membu­nuh 21 pelajar dan dua warden di pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September lalu.

Siti Radziah menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan memberitahu beberapa dokumen termasuk laporan bedah siasat semua mangsa masih belum diperoleh.

Kedua-dua tertuduh masing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kedua-dua re­­maja yang diwakili peguam, Joanne Chua Tsu Fae tidak boleh dikenakan hukuman mati biarpun setelah disabitkan, berikutan mereka masih di bawah umur 18 tahun ketika kejadian.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Ra­ya, Othman Abdullah, Nordin Mohd. Ismail dan Norakmal Farhan Aziz sementara Abdul Razak Ahmad Shahril, Mohd. Tajuddin Abd. Razak dan Boestamam Ahmad hadir selaku peguam pemerhati bagi pusat tahfiz dan keluarga mangsa.

Semua kes melibatkan tertuduh bawah umur dijalankan secara tertutup tanpa kehadiran orang awam, melainkan ahli keluarga tertuduh sahaja dibenarkan masuk ke dalam mahkamah.