Hakim Allaudeen Ismail memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap bekas Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik Felda, Muhammad Sufi Mahbub, 54, dan bekas Pengarah Besar agensi itu, Datuk Faizoull Ahmad, 58, melangkaui keraguan munasabah.

“Mahkamah telah meneliti, membaca dan menilai keseluruhan keterangan pembelaan tertuduh pertama (Muhammad Sufi) dan tertuduh kedua (Faizoull), saksi-saksi pembelaan dan keterangan saksi lain termasuk ke­terangan dokumen, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh gagal mematahkan tanggapan yang dikenakan terhadap mereka. Oleh itu, tertuduh-tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Sufi didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah de­ngan melupus dan meluluskan pembayaran RM25,999,000 dan RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender Felda menerusi perjanjian Technology Transfer and Supply Agreement dan Design-Build Contract Agreement dengan I2C Hassed (M) Sdn. Bhd., melalui Felda Caviartive Sdn. Bhd.

Pertuduhan terhadap bapa tiga anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu, Faizoull pula didakwa atas dua tuduhan bersubahat dengan Muhammad Sufi me­lakukan perbuatan itu iaitu kesalahan mengikut Seksyen 109 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa.

Kesemua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan di Bangunan Wisma Felda, Jalan Perumahan Gurney, di sini antara 13 Januari dan 23 Julai 2014.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dan Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Azad Bashir.

Allaudeen selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Muhammad Sufi manakala Faizoull pula dihukum penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan bersubahat. Hukuman penjara tersebut diperintahkan berjalan serentak bermula hari ini.