Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Johor Bahru, Hafizah Johor Arif Johor membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap keempat-empat suspek itu yang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dua pemaju yang ditahan sebelum ini bagaimanapun dibebaskan dengan bon SPRM hari ini.

Terdahulu, semua suspek yang berbaju T warna jing­ga tertera Lokap SPRM termasuk seorang berbaju T biasa berwarna ungu tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini pukul 9 pagi de­ngan diiringi pegawai SPRM.

Suspek kemudian dibawa keluar dari kompleks itu pukul 11.10 pagi selepas prosedur sambung reman itu selesai.

Pada 24 Februari lalu, SPRM menahan enam lelaki berusia antara 25 dan 50 tahun di beberapa lokasi di sini, terdiri daripada anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan negeri, dua pemaju, seorang peguam dan seorang awam.

Menurut SPRM, semua suspek disyaki bersubahat dalam kes pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis di Johor.

Hasil penahanan tersebut, wang sebanyak RM15.5 juta yang disimpan dalam 45 akaun milik suspek dibekukan, manakala 21 buah kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai sebanyak RM500,000 dan pelbagai dokumen dirampas.

Dalam tangkapan terbaharu Selasa lalu, SPRM menahan seorang kontraktor berusia 46 tahun di kediamannya di sini, disyaki turut terlibat dalam skandal rasuah serta penyelewengan hartanah di negeri ini.