Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun membenarkan rayuan Naib Presiden PKR itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan memiliki dokumen yang sama.

Rafizi sebelum ini dihukum penjara 18 bulan selepas didapati bersalah atas tuduhan memiliki tanpa kebenaran yang sah halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB yang bersalahan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 sedangkan dia tidak berhak menyimpan dokumen tersebut di lobi Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di sini pada pukul 3 petang, 24 Mac 2016.

Beliau turut didapati bersalah dan dihukum penjara 18 bulan kerana mendedahkan kandungan rahsia di halaman tersebut dalam satu sidang akhbar di tempat dan masa sama, pada 28 Mac 2016.

Hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut membenarkan permohonan Rafizi yang diwakili peguam bela, Gobind Singh Deo untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu keputusan rayuan akhir di Mahkamah Rayuan.

Sekiranya gagal di Mahkamah Rayuan, Rafizi akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen kerana berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000. - UTUSAN ONLINE