Rakaman tersebut ditayangkan pada perbicaraan kes bunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang masuk hari ketujuh hari ini.

Ketika rakaman tersebut ditayangkan, lampu di dalam mahkamah, dipadamkan dan kawalan keselamatan diperketatkan dengan menambah bilangan anggota polis bertugas yang berkawal di bahagian pintu.

Pegawai Pe­nyi­asat Kanan dari Ibu pejabat Po­lis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Supe­rin­tenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz yang memberikan keterangan berkata, daripada pemerhatian dan pengamatannya, rakaman CCTV dalam cakera video digital (DVD) bernombor 14 , imej pergerakan Siti Aisyah dari arah tepi kelihatan paling jelas pada minit 9:11:23.

“Di Restoran Bibik Heritage, terdapat beberapa rakaman yang menunjukkan pergerakan Siti Aisyah yang memakai baju T berwarna kelabu tanpa lengan dan berseluar jean biru ketika itu kelihatan berlari menuju ke tandas di aras 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Berdasarkan pengamatan, Siti Aisyah telah tiba dan masuk di Bibik Heritage dan berjumpa dengan seorang lelaki yang ketika itu memakai topi hitam dan berkaca mata. Saya lihat mereka berdua duduk di satu meja yang sama sambil berbual-bual sebelum lelaki itu menyerahkan sekeping tiket kepada tertuduh pertama itu.

“Sementara itu dalam rakaman lain pada minit 9:11:45, Siti Aisyah kelihatan merenjis-renjis tangannya seperti tidak selesa umpama kepanasan,” ujar saksi pendakwa kesembilan itu dan dia pasti dari arah tepi wanita itu ialah Siti Aisyah.

Pada pemeriksaan utama Ketua Unit Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mewakili barisan pendakwaan, saksi itu diminta supaya menggambarkan perbezaan pergerakan dan ekspresi wajah Thi Huong selepas berlakunya serangan terhadap Jong-nam.

Katanya, tertuduh kedua itu kelihatan tergesa-gesa beredar dari tempat kejadian dan juga menunjukkan wanita itu menadah tangannya.