Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

14 perasuah didakwa

Bekas majistret antara individu hadapi perbicaraan di enam negeri

Bekas Majistret, Esther Tan Siew Choo (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tu 2
BEKAS Majistret, Esther Tan Siew Choo (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tuduhan memberi suapan RM1,000 kepada Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah V. M. Abdul Latif untuk menggugurkan kes anak guamnya yang menghadapi dakwaan cubaan samun pada Februari lalu. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 12 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil langkah proaktif mengotakan janjinya, mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam kes-kes rasuah di mahkamah. Hari ini, SPRM telah mendakwa beberapa individu di Mahkamah Sesyen Rasuah di enam buah negeri.

Di ibu negara, seorang penjual tiket bas, Ahmad Badrol Hazim Ahmad Sabbri, 29, minta dibi­carakan atas tuduhan memberi suapan RM200 kepada Penolong Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), tiga tahun lalu.

Suapan itu didakwa diberikan kepada Hasnoddin Hashim, 49, sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang terhadap seorang pengendali sebuah bas persiaran yang dijadikan sebagai bas ekspres di terminal bas, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral, Jalan Pudu City Centre di sini, kira-kira pukul 11 malam, 6 Jun 2014.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda yang sama.

Hakim Azura Alwi membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selain me­netapkan 19 Jun ini bagi sebutan semula kes. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman.

Di SHAH ALAM bekas Majistret yang pernah bertugas di Petaling Jaya, Esther Tan Siew Choo me­ngaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan merasuah seorang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) sebanyak RM1,000 bagi menggugurkan kes anak guam­nya yang menghadapi dakwaan cubaan samun pada Februari lalu.

Siew Choo, 54, yang kini seorang peguam didakwa merasuah DPP negeri Selangor, Mahmoodah V. M. Abdul Latif, kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 2 Februari lalu di Mahkamah Majistret Sungai Besar dekat sini.

Suapan itu didakwa diberikan sebagai dorongan supaya Mahmoodah menggugurkan kes anak guam tertuduh iaitu Mohd. Hairi Mohd. Jani yang didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Siew Choo didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Siew Choo memohon jaminan yang dicadang­kan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa sebanyak RM10,000 dikurangkan kepada RM5,000.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan jaminan RM7,000 de­ngan seorang penjamin selain memerintahkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 26 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Di mahkamah yang sama, dua lelaki minta bicara atas pertuduhan cuba merasuah Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Selangor bagi melepaskan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) empat tahun lalu.

Di IPOH dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi rasuah RM600 kepada Pembantu Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tiga tahun lalu.

Tertuduh, V. Kumar, 57, dan S. Moorthy, 51, didakwa merasuah Azlee Ahmad supaya tidak mengambil tindakan terhadap lori lebih muatan yang dinaiki mereka kira-kira pukul 10.30 pagi, 12 November 2014 di Jalan Lumut-Ipoh, Seri Iskandar dekat sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara untuk tempoh sama atau denda.

Peguam M. Kathan mewakili Kumar manakala Moorthy, tidak diwakili peguam.

Hakim S. Indera Gandhi Nehru membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM13,000 dan me­netapkan 18 Mei ini sebutan semula kes.

Di KUCHING pemilik kilang bakeri dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 setelah mengaku bersalah memberi suapan kepada pegawai penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tahun lalu.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong memerintahkan Phang Tze Sin, 42, dipenjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda.

Tze Sin didakwa memberikan wang suapan RM1,500 kepada Mohd. Aizat Mohd. Nooraini di Ba­kery Suria Ceria Industry Sdn. Bhd. di Jalan Stakan Melayu pada pukul 11.30 pagi, 21 Disember tahun lalu.

Suapan itu sebagai dorongan kepada Mohd. Aizat supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana menyimpan barangan kawalan seperti tepung, gula dan minyak masak tanpa permit sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Seorang lagi tertuduh, Ngu Ho Woon, 59, pula didakwa memberi suapan RM2,000 kepada pegawai Imigresen agar tidak mengambil tindakan terhadap pekerja Indonesia yang dipercayai tidak mempunyai permit kerja sah di Kedai Runcit Jee Yuan, Batu 8 pada 15 Disember tahun sama.

Di KUANTAN dua pengusaha kebun bunga di Cameron Highlands dihukum penjara sehari dan denda atas kesalahan merasuah seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof menjatuhkan hukuman penjara itu ke atas Woo Kwai Chung, 55, dan denda RM12,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Manakala Sai Jun Hao pula dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Kwai Chung memberi suapan RM5,000 kepada Timbalan Pe­ngarah Operasi (Maritim) MKN, Kapten Wan Burhanuddin Jusoh di Coffee House Hotel Heritage pada pukul 4.45 petang, 15 April 2015.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry me­ngendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 17 (b) akta sama. Mereka diwakili peguam, Simon Evanson.

Di SEREMBAN seorang pe­nganggur dipenjara enam bulan dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah cuba memberi suapan kepada seorang konstabel sukarelawan polis, tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Daud Abdullah, 53, didakwa cuba memberikan RM101 kepada Peh Chee Chong sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.20 malam di Pejabat Sukarelawan Polis di Jalan S2 G2, Garden Avenue dekat sini pada 9 Jun 2016.

Pegawai Pendakwa SPRM, Karmila Mokhtar mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 17(b).

Mengikut fakta kes, Chee Chong yang membuat rondaan cegah jenayah bersama dua lagi rakan setugasnya di jalan tersebut membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang perempuan bukan Islam berada di bahagian pemandu manakala tertuduh di bahagian penumpang hadapan dengan zip seluar dan tali pinggang dipakai tertuduh terbuka.

Bagaimanapun, tertuduh meminta perkara itu diselesaikan di lokasi tersebut dan cuba memberi suapan wang tunai bagi mengelak dia dibawa ke balai polis dan dikenakan tindakan oleh pejabat agama.

Selepas mendengar rayuan Mohamad Daud, Fathiyah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi jika gagal menjelaskan denda selain wang suapan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Sehingga pukul 5 petang, tertuduh yang tidak diwakili peguam belum menjelaskan denda tersebut.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain