Peguam kepada Marzuki, Mohamed Haniff Khatri Abdullah berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membawa semua Borang 14 bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor untuk dibuka dan diserahkan salinan asalnya kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tiada pengiraan semula undi bagi Parlimen Tasek Gelugor dijalankan hari ini.

“Perbicaraan bagi kes ini masih belum dijalankan dan sebarang butiran lanjut atau maklumat berhubung Borang 14 ini tidak boleh didedahkan kepada umum,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada 12 Jun lalu, Marzuki memfailkan petisyen dengan menamakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya sebagai responden pertama, pegawai pilihan raya Tasek Gelugor sebagai responden kedua dan SPR responden ketiga.‬

Marzuki meminta mahkamah mempertimbangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan mengira semula undi diperoleh Shabudin yang hanya memiliki majoriti 81 undi.

Pada bulan lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan perbicaraan bagi petisyen difailkan Marzuki yang tewas di kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU-14 lalu. - UTUSAN ONLINE