Mereka ialah Jackie Lau Siew Kiat, 22; Liaw Wee Soon, 28; Lee Kian Yew, 32; Kenny Ling Leong Chuong, 27; Ooi Chin Leng, 31; Tee Kwee Ming, 19; Tan Ban Yap, 30; Phang Jun Wei, 19; Calvin Chan Wai Lam, 24, dan Dickson Chok Kim Leong, 19.

Kesemua tertuduh bagaima­napun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah melakukan pakatan jahat dengan bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang untuk memperdaya Then Kim Yeem, 65, sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang tunai berjumlah RM23,000.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengulangi perbuatan serupa dengan memperdaya Kim Yeem sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,000.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ambank Bhd. cawangan Kampar antara pukul 12.45 tengah hari dan 1.31 petang, 5 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Kenneth Oon mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.

Kenneth mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap per­tuduhan yang dihadapi oleh kesemua tertuduh berikutan kes tersebut melibatkan kepentingan orang awam.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi memohon jaminan minimum berikutan ada antara anak guamnya itu yang te­lah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan serupa, minggu lalu.

Nur Faizah membenarkan se­tiap tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin bagi ke­dua-dua pertuduhan dan menetapkan 4 Julai ini sebutan semula kes.