Majistret Norhayati Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh yang berumur antara 19 sehingga 40 tahun itu mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan berbeza yang dibacakan terhadap mereka.

Kesemua mereka masing-masing berhadapan dengan pertuduhan mencederakan anggota polis yang menjalankan tugas, merusuh, memasuki balai tanpa kebenaran dan menggangu tugas penjawat awam melakukan tangkapan.

Mereka ialah Muhamad Nasir Mohd, Radzi, 41; Arifin Mohd. Radzi, 21; Mohd. Fauzi Sazali, 40; Huzaini Aliff Ahmad Zembrey, 28; Mohamad Irfan Ikram Bohri, 19; Muhammad Khairul Kamal Abd. Aziz, 18; Lokman Hakim Mohd Tarmizi, 18; Md. Lias Ismail, 33; Hazarul Arif Abdullah, 33; dan Muhamad Shamil Ahmad,25.

Kesemua mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan, Sekyen 353 Kanun Keseksaan, Sekyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Tertuduh berhadapan dengan hukuman denda antara RM1,000 sehingga RM2,000 dan dipenjara lima sehingga 10 bulan mengikut seksyen-seksyen tersebut.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Seberang Tok Pi Kuala Perlis pada 15 Febuari lalu, kira-kira pukul 11.40 malam dan Balai Polis Kuala Perlis pada pukul 12.20 tengah malam.

Mengikut kertas pertuduhan, salah seorang tertuduh, Muhamad Nasir telah menakutkan penjawat awam iaitu Lans Koperal Nuramim Amerudin dengan bertindak merempuh anggota keselamtan tersebut dengan menggunakan motosikal.

Muhamad Nasir dan seorang lagi tertuduh, Mohd. Fauzi turut menggunakan kekerasan jenayah terhadap Inspektor M. Kaneson ketika menjalankan tugas.

Selebihnya Muhamad Nasir dan bersama tertuduh-tertuduh lain turut didapati melakukan kesalahan membuat rusuhan di lokasi kejadian dan memasuki balai polis Kuala Perlis tanpa kebenaran.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Misla Latif manakalan tertuduh diwakili peguam bela, Syed Muhamad Anwar Syed Lokman Hakim.

Akhbar sebelum ini melaporkan, anggota dan pegawai polis nyaris cedera apabila dibaling batu kira-kira 40 penduduk kampung ketika hendak membuat tangkapan seorang lelaki yang dikehendaki polis di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, di sini minggu lalu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.40 malam ketika anggota penguat kuasa itu hendak membawa suspek berusia 33 tahun itu yang bekerja sebagai nelayan.- UTUSAN ONLINE