Pembentukan zon itu bagaimanapun hanya sekadar di atas kertas kerana pihak penentang belum memberikan pengiktirafan terhadap perjanjian tersebut.

Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan ha­nya terdapat pentempuran dan serangan sekali sekala pada awal hari ini dalam kawasan selamat yang dibentuk.

"Selain beberapa kejadian berbalas tembakan dan pengeboman padan malam dan pagi di wilayah Hama, Damsyik dan Aleppo, amat kurang sekali." kata Ketua Pemerhati badan tersebut, Rami Abdel Rahman.

Jurucakap kumpulan penentang Jaish al-Nasr di Hama, Mohammed Rasheed mengesahkan berlaku pertempuran pada waktu tengah malam.

Rusia sebelum ini berkata, pihaknya akan meneruskan serangan ke atas kedudukan kumpulan penentang yang didakwanya militan Daesh meskipun bersetuju mewujudkan beberapa buah zon selamat di Syria.

Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataannya berkata, zon selamat pertama dan yang terbesar di utara Syria akan turut melibatkan wilayah Idlib yang mengandungi Latakia, Aleppo dan Hama dengan keseluruhan penduduk berjumlah sejuta orang.

Iran dan Turki kelmarin turut menyetujui cadangan Rusia untuk mewujudkan zon selamat itu.

Bagaimanapun butiran memorandum yang ditandatangani tiga penjamin agak kabur ketika kumpulan pembangkang utama Syria mendakwa perjanjian itu tidak mempunyai kesahihannya.

Zon yang diwujudkan untuk menamatkan konflik di beberapa buah kawasan tertentu melibatkan tentera kerajaan Syria dan kumpulan penentang dan mungkin akan diselia oleh tentera asing.

Agensi berita RIA dan Interfax yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan Rusia, Alexander Fomin sebagai berkata, secara hakikatnya, perjanjian zon selamat itu disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi sekali gus menjamin pelaksanaannya.

Di Washington, jurucakap Pentagon, Kapten Jeff Davis berkata, pakatan tentera yang diketuai Amerika di Syria tidak mengubah sebarang operasinya tetapi enggan mengulas mengenai penubuhan zon tersebut.

Kerajaan Syria yang menyokong zon selamat itu menegaskan akan meneruskan perang ke atas kumpulan yang dianggap mereka sebagai pengganas.

Kumpulan penentang kerajaan menolak perjanjian zon selamat dan mendakwa mereka tidak akan mengiktiraf Iran sebagai negara penjamin dalam sebarang rancangan gencatan senjata. – REUTERS/AFP