Portal berita Maan News yang memetik wakil khas hak asasi manusia PBB di wilayah Palestin, Michael Lynk berkata, Israel tahu tindakan mereka menyalahi undang-undang namun masih meneruskan agenda jahat itu untuk merampas hak penduduk Palestin.

Menurutnya, tidak cukup dengan itu, rejim Zionis semakin galak membangunkan kawasan penempatan haram secara besar-besaran di Tebing Barat.

“Terdapat kira-kira 20,000 hingga 25,000 penempatan haram baharu yang dibangunkan setiap tahun,” katanya.

Menurut badan pemantau Peace Now, aktiviti penempatan haram itu semakin me­ningkat di bawah rejim Israel pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Dalam perkembangan berkaitan, Netanyahu baru-baru ini mengumumkan kira-kira 840 unit penempatan haram baharu akan dibina di Tebing Barat dalam tempoh terdekat.

Media Israel melaporkan, keputusan itu dibuat sebagai tindak balas Zionis terhadap kematian dua penduduk Yahudi yang terbunuh selepas diserang penduduk Palestin di kawasan penempatan haram Ariel.

Netanyahu juga memaklumkan pihak berkuasa sudah meluluskan rancangan pembinaan tersebut dan akan dimulakan dalam masa terdekat.

Pengumuman Netanyahu itu mendapat kritikan kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tselem yang menyatakan semua lapisan masyarakat Pa­lestin termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas akan terjejas sekiranya semakin banyak penempatan haram dibangunkan.

“Israel tidak peduli jika orang lain yang tidak terlibat dalam insiden (serangan) itu kehilangan rumah mereka, asalkan agenda jahat Zionis untuk terus menjajah bumi Palestin dapat diteruskan,” jelasnya.

Sementara itu, lapor al-Jazeera, tentera Zionis menahan sekurang-kurangnya tujuh penduduk Palestin di Tebing Barat kerana didakwa terlibat dalam kegiatan keganasan.

Kesemua yang ditahan dihadapkan ke pihak berkuasa Israel untuk siasatan lanjut.