Dalam kejadian pada bulan lalu itu, remaja berkenaan, Mohammed Tareq Ibraham Dar Youssef, 17, turut terbunuh selepas ditembak oleh salah seorang mangsa yang cedera.

Lebih menyedihkan, kemusnahan rumah keluarga Mohammed Tareq di Kampung Kobar, barat laut Ramallah dilakukan ketika jenazah remaja itu masih belum diserahkan oleh pihak berkuasa Israel.

Datuk Bandar Kobar, Izzat Badwan yang dipetik agensi be­­rita Wafa sebagai berkata, tentera Israel bersama sebuah jentolak memasuki kampung berkenaan sebelum meranapkan kediaman remaja itu sebelum waktu Subuh.

Jelasnya, tentera Israel turut menyerbu dan menggeledah beberapa buah rumah sebelum menahan seorang lelaki berusia 35 tahun.

Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan langkah memusnahkan kediaman itu sebagai balas dendam dengan Mahkamah Agung Israel menyokong perbuatan tersebut.

Israel turut menyifatkan tindakan itu sebagai hukuman dan langkah pencegahan daripada serangan.

Dalam kejadian pada 26 Julai lalu di penempatan Adam, Mohammed Tareq didakwa menikam tiga orang dan meng­akibatkan kematian kepada Yotam Ovadia, 31, ketika seorang daripada mangsa yang cedera menembak mati remaja berkenaan.

“Kami memasuki sebuah kampung dan memusnahkan rumah pengganas,” dakwa komander sebuah batalion Israel, Leftenan Kolonel Liron Appleman.

Dalam satu kenyataan, tentera rejim berkata, berpuluh-puluh penduduk Palestin melontar batu, bom api dan bom paip ke arah tentera.

Namun tiada laporan kece­deraan dilaporkan.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pihaknya melihat jalan perdamaian dengan Palestin boleh dilaksanakan menerusi ‘normalisasi’ hubungan bersama negara-negara Arab.

Menurutnya, kebanyakan negara Arab kini melihat Israel bukan sebagai musuh tetapi sekutu yang sangat diperlukan untuk menentang sikap agresif Iran.

“Ini mewujudkan normalisasi yang boleh menjurus kepada perdamaian. Saya percaya, jika kami berdamai dengan dunia Arab yang lebih luas, ini membantu kami mendapatkan perdamaian dengan Palestin,” katanya dalam temu bual dengan pe­nyiar awam Lithuania, LRT kelmarin.

Israel mempunyai perjanjian damai dengan dua negara Arab iaitu Mesir dan Jordan ketika kebanyakan negara lain mene­gaskan satu perjanjian dengan Palestin sebagai prasyarat yang mungkin membuka laluan ke arah hubungan rasmi.

Sementara itu, penduduk Pa­lestin dan tentera Israel bertempur di Bandar Nablus, Tebing Barat selepas tentera rejim membenarkan sebanyak 750 orang Yahudi memasuki makam Nabi Yusuf, malam tadi.

Agensi berita Xinhua melaporkan, lima penduduk Israel ce­dera dengan tiada kecederaan bagi pihak tentera Israel dalam kejadian di makam Nabi Yusuf yang dianggap suci bagi umat Islam dan Yahudi itu. – AFP/REUTERS/BERNAMA