Channel News Asia memetik portal CNN sebagai berkata, maklumat ber­kenaan diperoleh daripada satu sumber politik dalam Parti Pheu Thai yang pernah dianggotai Yingluck sebelum ini.

Semalam, Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-ocha mendakwa, Ying­luck mungkin berada di Dubai ketika ini selepas melarikan dirinya pada bulan lalu.

Menurut pemimpin junta itu, pihaknya akan memburu Yingluck melalui saluran diplomatik dan kerjasama polis dengan bantuan Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol).

Terdahulu, Yingluck didapati bersalah oleh mahkamah kelmarin kerana cuai ketika melaksanakan skim subsidi beras.

Justeru, Yingluck yang juga adik kepada bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun, tanpa kehadiran dirinya di mahkamah.

Mahkamah itu telah menangguhkan pengha­ki­man yang sepatutnya berlangsung pada 25 Ogos lalu setelah Yingluck gagal hadir di mahkamah dan polis mendapati beliau telah keluar dari negara itu.

Pihak berkuasa Thailand sebelum ini enggan mendedahkan lokasi sebenar Yingluck walaupun anggota kanan partinya memberitahu Reuters bahawa beliau telah melarikan diri ke Dubai untuk tinggal dengan abangnya yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.