Laporan portal Bangkok Post menyebut, sumber tentera laut negara ini memberitahu, tidak mungkin bekas pemimpin itu sanggup meredah kawasan bergunung-ganang yang tidak dikawal seperti Chanthaburi dan Trat yang ditanam dengan periuk api.

“Saya percaya orang ke­na­ma­an seperti Yingluck tidak akan memilih laluan berkenaan untuk keluar dari negara ini, pasti beliau memilih laluan yang selesa,” ujarnya.

Menurut sumber itu lagi, agak sukar bagi Yingluck meninggal­kan negara ini melalui pos kawalan sempadan rasmi kerana kawasan itu dikawal dan dipantau oleh anggota tentera, polis imigresen dan pegawai kastam.

“Mustahil anggota tentera tidak nampak Yingluck kerana mereka akan memeriksa setiap kenderaan walaupun kende­ra­an itu milik orang kenamaan ma­­lah pemandu kenderaan perlu menunjukkan dokumen berkaitan jika mahu keluar dari negara ini,” katanya.

Justeru kata sumber itu, pi­hak pengawal sempadan percaya Yingluck lari melalui jalan laut contohnya menggunakan bot laju dari Rayong ke pulau seperti Koh Chang, Koh Kood dan Koh Laoya di Trat sebelum ke Kemboja.

“Jalan laut adalah lebih mudah dan tidak disedari oleh pihak berkuasa kerana banyak bot yang melalui jalan laut dekat ketiga-tiga pulau yang menjadi tarikan pelancong itu,” katanya.

Teori tersebut adalah selari dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Prawit Wongsuwon pada Jumaat lalu bahawa Yingluck berkemungkinan meninggalkan Thailand melalui Koh Chang.

Wongsuwon menafikan pihak keselamatan sengaja membiarkan bekas Perdana Menteri itu melarikan diri.

Sumber lain dari Pasukan Tentera Burapha yang menga­wal sempadan Thailand-Kemboja di wilayah Sa Kaeo turut menegaskan bahawa pihak berkuasa di pos kawalan sempadan di timur wilayah itu tidak akan membiarkan Yingluck terlepas.

“Kami telah memeriksa semua kenderaan yang keluar masuk dari negara ini justeru mustahil Yingluck bolos dari Thailand melalui jalan darat,” katanya.

Walaupun pelbagai teori timbul tentang kejayaan Yingluck melarikan diri namun secara umumnya dipercayai Yingluck memasuki Kemboja sebelum menaiki kapal terbang melalui Singapura ke Dubai.