KATE MIDDLETON mendukung bayinya ketika meninggalkan Hospital St Mary di London, Britain, semalam. AGENSI

BBC melaporkan, bayi lelaki yang merupakan pewaris kelima takhta monarki Britain itu dilahirkan pada pukul 11.01 pagi semalam dengan berat 3.8 kilogram.

Pasangan diraja tersebut me­nunjukkan wajah bayi lelaki mereka ketika keluar dari Hospital St Mary di sini.

William membe­ritahu media yang berkumpul di pekarangan hospital tersebut bahawa beliau dan isteri gembira dengan kelahiran bayi tersebut dan sempat berseloroh dengan menyatakan kini ‘kebimbangannya’ sudah menjadi tiga kali ganda.

“Kali ini saya tidak biarkan anda semua menunggu lama untuk melihat wajah bayi kami,” katanya.

Selain itu, William memaklumkan rakyat akan mengetahui nama bayi lelaki tersebut tidak lama lagi.

Nama seperti Arthur, Albert, Frederick, James dan Philip dijangka menjadi nama pilihan untuk bayi ketiga William dan isterinya itu.

Beberapa minit selepas itu, pasa­ngan diraja tersebut meletakkan bayi mereka ke dalam kereta dan pulang ke kediaman mereka di Istana Ken­sington.

Middleton yang mengenakan gaun merah kelihatan sihat dan ceria ketika meninggalkan hospital sambil mendukung bayinya.

Penggiat industri fesyen menya­takan gaun merah yang dipakai Middleton melambangkan bendera St George, selain ada yang mengaitkan penampilan isteri William itu dengan mendiang ibu mertuanya, Puteri Diana selepas melahirkan Putera Harry pada 1984.

Sementara itu, kedua-dua ke­luar­ga pasangan diraja itu melahirkan rasa syukur dan gembira de­ngan kelahiran tersebut.