Kejadian yang berlaku terhadap Ammar Alwaely turut di­rakamkan oleh rakannya yang me­nunjukkan peluru itu menge­nai kamera yang sedang digunakan kemudian melantun ke bahagian bekas GoPro yang di­sandang di bahunya.

Ketika kejadian itu wartawan berkenaan sedang merakamkan kejadian peperangan di bahagian barat bandar ini.

“Peluru itu tersasar hanya beberapa sentimeter dari jantung Ammar, jika tidak kerana bekas GoPro sudah pasti peluru itu menembusi jantungnya,” kata­nya yang dilaporkan portal Daily Mail.

Sebaik sahaja tembakan di­le­paskan beberapa rakannya yang lain segera meniarap di atas ta­nah dan merangkak ke belakang kenderaan untuk mengelak peluru penembak tepat.

Ammar dikatakan menerima rawatan akibat luka kecil namun tidak berbahaya.

Semasa kejadian tersebut, ten­tera Iraq mendakwa telah me­nawan 90 peratus barat Mosul dari­pada kumpulan Daesh yang kini dikatakan ‘di ambang kekalahan’.

Tentera kerajaan melancarkan operasi besar-besaran untuk menawan Mosul daripada kumpulan Daesh sejak tujuh bulan lalu dengan melancarkan serangan di kubu kuat mereka, menawan kawasan timur dan menyerang kawasan barat.

Menurut jurucakap Operasi Bersama Iraq, Brig. Jeneral Yahya Rasool, kumpulan itu kini hanya menguasai 10 peratus barat Mosul.