Jagendra Singh

Mail Online melaporkan, Ja­gendra Singh dari Uttar Pradesh terkorban apabila sekumpulan lima anggota polis bertindak menyerbu rumahnya selepas menuduh ahli politik, Ram Murti Verma terlibat dalam gejala rasuah di laman sosial Facebook.

Polis berkenaan mendakwa, Singh meninggal dunia selepas membunuh diri, sebelum anaknya iaitu Rahul memberi penjelasan bahawa bapanya terkorban selepas dibakar oleh anggota polis terbabit.

Susulan daripada dakwaan tersebut, mahkamah bertindak menahan anggota polis itu atas kesalahan membunuh, selain turut menahan Verma atas kesalahan sama.

Rahul berkata, pembunuhan bapanya merupakan sebahagian daripada komplot jahat Verma berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

“Verma bersama inspektor Sri Prakash Rai membakar ayah saya di hadapan kami sekeluarga. Polis yang terlibat telah diberi rasuah untuk melakukan tindakan tersebut,” jelas Rahul.

Pengerusi Jawatankuasa Media Massa India, C K Prasad mengutuk tindakan tersebut yang disifatkan sebagai cubaan untuk menghalang kebebasan bersuara dan akan me­nubuhkan badan penyiasat sendiri bagi menyiasat kes tersebut lebih mendalam.