Pesawat itu hilang daripada radar pada Mac 2014 dan membawa 239 orang, kebanyakannya warga China.

Walaupun dikawal ketat oleh pasukan polis, waris serta saudara mara mangsa berhimpun di luar Kedutaan Malaysia di sini bagi menyerahkan surat tuntutan berkenaan yang ditujukan kepada kerajaan Malaysia.

“Kami meminta Perdana Menteri Malaysia (Dr. Mahathir) atau wakil lain (dari kerajaan Malaysia) bertemu dengan ahli keluarga mangsa dari China semasa lawatan rasmi (Perdana Menteri) ke sini,” jelas isi kandungan surat tersebut.

Dr. Mahathir, yang menjadi Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua selepas kemenangan pilihan raya pada Mei lalu akan tiba di China esok untuk lawatan selama lima hari termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang pada Isnin ini.

Selain tuntutan berkenaan, permintaan lain turut disuarakan oleh ahli keluarga mangsa terma­suk meneruskan pencarian, pertemuan bulanan dengan syarikat penerbangan dan pegawai Malaysia serta memberi penyiasat menjelaskan secara terperinci laporan siasatan baru-baru ini.

Surat yang sama juga diberikan kepada Kementerian Luar.

“Kami berharap agar lawatan ke China, (Dr. Mahathir) dapat menyelesaikan isu berkaitan MH370. Kami tidak tahu apa-apa mengenai keadaan ini. Kehidupan kami telah berakhir pada 8 Mac 2014,” kata Gu Xiu Fang yang anak lelaki dan keluarganya berada di dalam pesawat tersebut.

Awal bulan ini, ahli keluarga mangsa menyatakan kekecewaan terhadap laporan rasmi setebal 1,500 muka surat baru-baru ini yang tidak memberikan petunjuk baharu mengenai kehilangan MH370 selain tidak diterjemah ke dalam bahasa Cina.

Pesawat MH370 yang hilang itu mencetuskan misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia kerana tiada tanda penemuan di zon carian Lautan Hindi. – AFP