Malah, kota yang dahulunya meriah, kini sunyi kerana tidak lagi kelihatan orang ramai me­ngunjungi kawasan pesisiran pantai pada waktu petang yang turut menempatkan gerai dan restoran yang menyajikan pelbagai makanan laut.

Hempasan gelombang tsunami susulan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda kira-kira pukul 6 petang pada 28 September lalu bukan sahaja memusnahkan keseluruhan gerai, restoran, kedai serta kediaman di pesisiran pantai, malah meruntuhkan Jambatan Kuning yang menjadi salah satu ikon kota tersebut.

Antara perkampungan nelayan yang terjejas teruk dilanda tsunami adalah Kampung Tanjung Padang di Donggala, dekat sini apabila hampir semua kira-kira 500 rumah musnah.

Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Hussin berusia dalam lingkungan 60-an mengakui hingga kini masih trauma walaupun berjaya menyelamatkan diri ke lereng gunung kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

"Rumah saya hancur dibantai tsunami. Apabila berlaku gempa, saya sudah meminta isteri dan tiga anak saya selamatkan diri ke kawasan kaki gunung," katanya ketika ditemui semalam.

Rakannya yang turut hanya mahu dikenali sebagai Pak Mahadjula, 55, turut mengakui hingga kini masih takut dan tidak dapat membayangkan apa nasibnya dan isteri sekiranya tidak menyedari kedatangan tsunami.

"Semasa gempa, saya baharu sahaja hendak solat dan isteri, Asmiah, 49, di ruangan dapur. Saya terus menjerit memanggil isteri untuk selamatkan diri," katanya kehilangan bot yang pecah dan kediaman rosak dilanda tsunami selepas itu.

Bagi Pak Dazmin, 53, sebelum ini dia hanya melihat dahsyatnya kejadian tsunami yang melanda Aceh dan Jepun, namun seperti tidak mempercayainya kerana kini memusnahkan rumahnya di Kampung Dusun 2, Donggala.

"Selepas sebulan berlalu, warga di sini masih trauma dan sentiasa berjaga-jaga apabila berlaku gempa susulan. Kalau ada tanah lain yang diberi pemerintah, kami tidak akan tinggal di tempat lama," katanya yang mengakui bimbang me­ngenai masa depan mereka. – utusan