Portal berita, english.palinfo.com yang memetik laporan itu merumuskan, pertubuhan tersebut mendapati Israel melakukan pencabulan hak asasi manusia ke atas penduduk Palestin.

Pertubuhan itu mendedahkan laporan siasatan itu dalam satu sidang media di Geneva, semalam.

Pertubuhan itu turut menyiarkan rakaman video dan gambar-gambar yang menunjukkan berlaku keganasan dan pembunuhan ke atas penduduk Palestin yang mengadakan bantahan, kira-kira dua minggu lalu.

Ketika rejim Zionis Israel terus-menerus mencabul hak asasi manusia dan terlepas daripada hukuman atas perbuatannya itu, ‘Citizen Journalism’ (Kewartawanan Rakyat) berjaya merakamkan setiap tindakan kejam yang dilakukan rejim Zionis.

Kini tindakan Kewartawanan Rakyat itu menyebabkan kekejaman Israel tersebut sukar ditutup lagi, kata laporan itu.

“Terima kasih atas keberanian aktivis, ahli keluarga dan para pemerhati, Euro-Mediterranean telah mengumpul rakaman video terbabit dan banyak keterangan saksi, berhubung penganiayaan mengerikan yang dilakukan oleh tentera Israel beberapa minggu lalu, yang dipercayai merupakan sebahagian kecil daripada tindakan keganasan Israel, “kata seorang pakar hak asasi manusia, Daniela Donges.

“Dalam laporkan itu, kami me­nemu bual lapan orang. Ia bukan sekadar jumlah. Mereka adalah manusia biasa yang mempunyai banyak kisah untuk didedahkan,” katanya.

“Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean menyeru pihak berkuasa Israel menjalankan siasatan telus terhadap pembunuhan yang berlaku. Namun, kerana tidak yakin mereka akan melaksanakan perkara itu, kami memanggil Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pihak berkuasa Palestin untuk melawat wilayah berkenaan bagi menjalankan siasatan mereka sendiri,” kata Donges.