Menurut laporan itu, Abdul Jalil Sulaiman, 47, didakwa membawa masuk wang berjumlah antara S$30,300 (RM92,467) hingga S$300,000 (RM915,518) setiap kali menggunakan Lorong Hijau di Pusat Pemeriksaan Woodlands antara 4 Sept 2013 dan 16 April 2014.

Jumlah wang tersebut adalah dalam matawang dolar Amerika dan Australia.

Akhbar itu melaporkan bahawa Abdul Jalil telah menyatakan hasrat untuk mengaku bersalah dan pihak pendakwaan akan meneruskan 30 pertuduhan terhadap tertuduh dan menawarkan jaminan S$100,000 (RM305,195).

Mengikut undang-undang negara itu, seseorang yang gagal mengisytiharkan untuk membawa masuk wang tunai melebihi S$30,000 (RM91,548) ke Singapura boleh didenda, penjara atau kedua-dua sekali.

Abdul Jalil didakwa mengikut Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Serius Lain (Perampasan Manfaat) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum S$50,000 (RM152,593) dan/atau hukuman penjara maksimum tiga tahun bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 21 Disember ini.

Merujuk kepada laman web Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), laporan akhbar itu menyebut Lorong Hijau adalah untuk mereka yang tiba di Singapura tanpa barang yang boleh dikenakan duti, dikawal atau dilarang untuk disytiharkan. - BERNAMA