Waran tangkap itu dikeluarkan ke atas seorang ‘warga asing’ atas dakwaan cubaan membunuh dan merancang pembunuhan. Bagaimanapun, waran tangkap itu tidak menyebut nama suspek tersebut.

Polis turut menjejak dua suspek lain yang dikesan di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dilihat berada di lokasi letupan, dan disyaki sebagai mereka yang paling dikehendaki, kata jurucakap polis, Prawut Thavornsiri.

Kedua-dua lelaki itu berpakaian putih dan merah kelihatan berdiri berhampiran suspek pe­nyerang yang berpakaian kuning, ketika suspek memasang bom berkenaan.

Polis Thai menawarkan ganjaran sebanyak 1 juta baht (RM112,419) kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya suspek yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut pada Isnin lalu.

“Saya percaya terdapat lebih daripada seorang terbabit dalam serangan itu. Terdapat satu rangkaian.

“Seorang asing tidak akan dapat melakukan serangan itu seorang diri. Terdapat rakyat Thailand turut membantu penyerang berkenaan melakukan serangan itu,” kata Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmoung.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha hari ini memberi amaran supaya penyerang segera menyerah diri atau akan dibunuh oleh pasukan keselamatan.

“Sesiapa yang mengenali penyerang salurkan maklumat itu kepada polis,” katanya.

Pihak berkuasa Thailand sebelum ini mengeluarkan lakaran lengkap suspek pengebom berkenaan yang dirakamkan menerusi kamera litar tersembunyi (CCTV).

Menerusi lakaran terbaharu, lelaki yang tidak dikenali tersebut memiliki warna kulit cerah, sedikit janggut, berambut hitam dan berkaca mata, tetapi pihak berkuasa ti­dak dapat memastikan kerakyatan suspek.

Lima rakyat Malaysia merupakan antara 22 mangsa yang terbunuh dalam serangan itu dan le­bih 100 orang lagi cedera.– dpa/AFP