Pihak polis dilaporkan terkejut dengan perubahan dibuat oleh wanita itu yang melarikan diri ke bandar Shenzhen di tenggara China selepas sebuah mahkamah di Wuhan memerintahkannya mem­bayar hutang berkenaan.

“Kami terperanjat melihat wajah wanita itu kerana dia kelihatan seperti wanita berusia 30-an dan berbeza daripada gambar yang kami peroleh,” kata polis berkenaan seperti yang dilaporkan agensi berita Xinhua.

Wanita yang dikenali sebagai Zhu Najuan mengaku menggunakan kad kredit untuk membiayai pembedahan itu selain memiliki kad pengenalan orang lain bagi memudahkannya bergerak di negara ini menggunakan kereta api.

Pada awal bulan ini, wakil daripada lebih 300 bandar di negara ini berjanji memudahkan pemilikan kad kredit bagi memboleh­kan pengguna berbelanja.

Pendekatan itu merupakan usa­ha China mencari sumber baharu bagi perkembangan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap pelaburan infrastruktur dan industri berat.

Walau bagaimanapun, kemudahan kepada individu itu menyebabkan peningkatan hutang isi rumah yang dianggarkan mencapai 50 peratus pengeluaran da­lam negara kasar pada tahun lalu iaitu dua kali ganda dalam tempoh kurang 10 tahun.

Kerajaan juga berusaha mewujudkan sistem penarafan kredit seluruh negara yang boleh dipercayai selain mencari kaedah ba­ha­ru mengesan mereka yang ti­dak membayar hutang.

Menurut laporan media tempatan, sebuah mahkamah di wi­­layah Jiangsu telah menyenaraihitamkan mereka yang tidak membayar hutang itu.

Sesiapa menghubungi me­reka yang tersenarai melalui tele­fon akan mendengar mesej berbunyi ‘tolong desak individu ini untuk mematuhi undang-undang’.

Lapor Xinhua, bandar Wuhan juga melancarkan beberapa siri serbuan terhadap pemiutang dan menahan 186 orang dalam tempoh setengah tahun ini. – Reuters