Kadar kelahiran bayi kembar, kebanyakannya kembar dua, meningkat kepada 16.1 peratus bagi setiap 1,000 wanita yang mengandung pada tahun lalu berbanding 16.0 peratus pada 2014.

Pada tahun lalu, sebanyak 10,901 wanita melahirkan bayi kembar dua; bayi kembar tiga (169 wanita) dan tiga wanita me­lahirkan bayi kembar empat.

Menurut pertubuhan ber­kenaan, obesiti menyumbang kepada kelahiran kembar dalam kalangan wanita usia tersebut.

Portal Daily Mail melaporkan, lazimnya, wanita hamil berusia 45 tahun ke atas merupakan penyumbang kepada peningkatan kelahiran bayi kembar berikutan penggunaan kaedah rawatan kesuburan (IVF).

Ketua Eksekutif Tamba, Keith Reed berkata, peningkatan kelahiran bayi kembar bukan sahaja disebabkan trend rawatan ke­suburan tetapi turut dipengaruhi oleh peningkatan jumlah ibu yang mempunyai kadar indeks jisim tubuh (BMI) yang tinggi.

“Kedua-dua perkara itu mempunyai pengaruh terhadap kehamilan kembar namun kami akan mengumpul lebih banyak data tentang ini,” katanya.

Kebanyakan bayi kembar dua atau kembar tiga dilahirkan secara kelahiran biasa namun rawatan kesuburan turut menyumbang kepada kelahiran kembar dengan secara purata setiap satu daripada 10 kehamilan secara IVF adalah kembar.

Namun Kolej Diraja Ginekologi dan Obstetrik (RCOG) memaklumkan kajian terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca peningkatan jumlah kelahiran bayi kembar dua dan kembar tiga dalam kalangan wanita berusia antara 25 sehingga 29 tahun.

Presiden RCOG, Prof. Lesley Regan memberitahu, peningkatan kelahiran bayi kembar dalam kalangan wanita berusia 25 hingga 29 tahun adalah menarik namun terdapat banyak sebab yang mempengaruhi peningkatan itu termasuk rawatan kesuburan.

“Pendapat yang mengatakan peningkatan itu ada kaitan de­ngan obesiti perlu kajian lanjut kerana kita sedia maklum setiap satu daripada lima ibu obes yang hamil akan meningkatkan risiko keguguran, kematian bayi, ken­cing manis, pembekuan darah, kesukaran bersalin dan tumpah darah selepas kelahiran,” kata­nya.