Menurut portal berita Oddity Central, ketika meninggalkan kereta di zon tunda, wanita itu hanya akan meninggalkan notis saman letak kereta palsu di tingkapnya bagi mengaburi penguat kuasa yang membuat pemeriksaan di kawasan tersebut.

Kebanyakan anggota po­lis atau penguat kuasa hanya akan memeriksa tarikh notis berkenaan dan beranggapan rakan mereka sudah mengeluarkan saman tersebut lebih awal.

Tidak dapat dipastikan berapa lama wanita itu menggunakan taktik berkenaan untuk meletak kenderaan sesuka hati dan mengelak disaman.

Tetapi perbuatannya itu akhirnya berjaya dirakam dan dia diberkas awal bulan ini.

Wanita itu tidak bernasib baik apabila dia meletakkan kenderaannya yang secara kebetulan bersebelahan dengan sebuah kereta polis yang dilengkapi kamera.

Apabila kembali ke kereta, wanita itu pada mulanya cuba menafikan melakukan sebarang kesalahan dan hanya me­ngakui apabila menyedari tindak-tanduknya sudah dirakam.

Menurut portal Knews, notis saman itu kelihatan seperti salinan asal de­ngan tarikh yang betul tetapi pe­meriksaan teliti oleh pi­hak polis menunjukkan bahawa semua butiran lain adalah palsu.

Wanita itu dilaporkan dimarahi oleh anggota polis kerana cuba memalsukan dokumen rasmi dan dia akhirnya tidak dapat melarikan diri daripada membayar denda akibat ke­salahannya itu.