Mail Online melaporkan, Tereza Burki yang kini berusia 47 tahun bukan setakat belum bertemu jodoh, malah dia turut disaman agensi mencari jodoh berkenaan selepas syarikat itu mendakwa konsultan pelaburan terbabit memfitnah mereka.

Burki mendakwa, dia berasa tertipu menggunakan per­khidmatan syarikat itu selepas membayar sejumlah 12,600 pound (RM68,087) yuran per­khidmatan setelah tertarik dengan tawaran agensi terbabit yang mendakwa ‘memiliki akaun’ lebih 7,000 lelaki kacak dan kaya dalam senarai mereka.

Namun apa yang berlaku selepas itu amat mengecewakan ibu kepada tiga orang anak berkenaan apabila dia langsung tidak menerima sebarang undangan untuk makan malam romantik mahupun keluar menonton wayang.

Malah Burki mendapati, hanya terdapat 100 orang se­narai lelaki aktif dalam perkhid­matan mencari jodoh ber­kenaan dan membuatkannya memutuskan untuk mendapatkan wangnya semula.

Wanita itu akhirnya berjaya mendapat pelaburannya semula tiga bulan lalu apabila mahkamah mengarahkan agensi berkenaan memulangkan yuran perkhidmatan Burki selepas mendapati wanita tersebut ditipu oleh syarikat terbabit.

Namun kegembiraan Burki tidak lama apabila sebuah mahkamah memerintahkan wa­nita itu membayar ganti rugi sebanyak 5,000 pound (RM27,018) kepada agensi ber­kenaan ke­rana menulis komen berunsur fitnah dalam talian.

“Saya dapati kehidupan saya agak sukar sekarang dan tidak mempunyai impian lagi malah tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Saya hanya mahukan seseorang untuk berkongsi hidup walaupun hakikatnya menyayangi anak saya,” katanya.