Kajian melibatkan 9,600 responden yang dibuat Majlis Kesatuan Sekerja Australia mendedahkan dua daripada tiga wanita yang bekerja sepenuh masa berdepan pelbagai bentuk gangguan seksual.

Tambah menyedihkan lagi, hampir keseluruhan kes yang membimbangkan itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Daripada keseluruhan responden yang menyertai kaji selidik ini, 64 peratus wanita dan 35 peratus lelaki mengakui berdepan gangguan (seksual) di pejabat,” dedah kajian itu.

Hampir kesemua responden memberitahu mereka adalah mangsa kepada kelakuan tidak bermoral atau gangguan seksual tidak diingini.

Namun begitu, hanya sebilangan kecil sahaja yang membuat laporan bagi mengelakkan sebarang akibat tidak diingini.

Presiden Kesatuan Sekerja Australia, Michele O’Neil dalam kenyataan berkata, semua individu di negara itu perlu bebas daripada gangguan seksual di pejabat.

“Tetapi realitinya, bagi sejumlah besar golongan bekerjaya, lebih-lebih lagi wanita, gangguan seksual adalah perkara yang tidak boleh mereka elakkan,” katanya.

Dalam pada itu, penganjur kempen Perikatan Wanita Australia Menentang Keganasan, Merrindahl Andrew pula berpendapat gangguan seksual mewujudkan persekitaran ruang kerja yang dipenuhi diskriminasi terhadap wanita, sekaligus membantutkan perkembangan karier golongan tersebut.

“Gangguan ini menutup peluang wanita untuk maju dalam karier dan pada masa yang sama mendorong kepada berlakunya keganasan terhadap golongan tersebut,” ujarnya.-REUTERS