Lapor Bangkok Post, pihak berkuasa menyalahkan kadar vaksinasi yang rendah di selatan Thai sebagai punca kemunculan semula penyakit itu.

Keadaan itu berlaku kerana terdapat tanggapan salah dalam kalangan penduduk Islam terhadap vaksin yang didakwa diperoleh dari babi iaitu binatang yang diharam daripada memakannya.

Bagaimanapun, pegawai kesihatan Vicharn Pawan berkata, Thailand mengimport produk vaksin campak yang tidak me­ngandungi sebarang gelatin babi.

Kes campak di seluruh negara telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Kementerian Kesihatan Thailand.

Jumlah kes di wilayah selatan itu mewakili separuh keseluruhan kes wabak berkenaan di negara ini sejak awal tahun ini.

Pejabat Pencegahan dan Kawalan Kementerian Kesihatan Thailand berkata, salah faham tentang vaksinasi menyebabkan di sesete­ngah kawasan hanya 60 peratus penduduk menerima imunisasi.

Pada tahun lalu, hampir 3,000 kes dilaporkan tetapi tanpa kematian berbanding hanya lebih 1,000 pada 2012.

“Terdapat banyak salah faham tentang vaksinasi dalam masyarakat Islam di sini. Ada yang mengatakan ia bertentangan dengan agama mereka manakala yang lainnya pula berpendapat ia tidak selamat, “ kata Anchanee Heemmina, seorang aktivis yang tinggal di kawasan yang terjejas.

Bagi penyakit yang berjangkit seperti campak, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) me­nyatakan sekurang-kurangnya 95 peratus daripada penduduk mesti divaksin untuk komuniti yang dianggap kebal terhadap penyebaran penyakit itu.