Portal berita Mail Online melaporkan, seramai 2,000 orang telah dijangkiti wabak aneh itu dalam tempoh singkat yang turut disifatkan sebagai bencana kesihatan terburuk di negara ini dalam tempoh 50 tahun.

Majoriti kes tersebut melibatkan gejala seakan-akan pneumo­nia tetapi jangkitannya lebih ba­haya daripada wabak bubonik yang membunuh ratusan ribu penduduk Eropah pada tahun 1300-an.

Wabak itu tersebar melalui uda­ra dengan gejala termasuk demam teruk, sakit kepala serta batuk berdarah dan serangannya boleh membawa maut dalam tempoh 72 jam selepas dijangkiti.

Pesakit mampu sembuh jika diberikan antibiotik dengan se­ge­ra dan pemeriksaan kesihatan dilaporkan disediakan di seluruh negara, dengan penumpang yang menaiki bas atau teksi perlu me­lalui pemeriksaan suhu badan ter­lebih dahulu.

Sekolah dan universiti turut ditutup dengan larangan dikeluarkan kepada sebarang perhim­punan awam dan Pertubuhan Ke­sihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak ini sangat luar biasa kerana memberi kesan kepada kawasan bandar, sekali gus me­ningkatkan risiko penyebarannya.

WHO dilaporkan telah menghantar 1.2 juta dos antibiotik un­tuk melawan penyakit itu ma­na­­kala Persatuan Palang Merah membantu melatih beratus-ratus sukarelawan di pulau ini untuk menyebar luas langkah pencegahan kepada penduduk.

Pakar Penyakit Berjangkit Uni­ver­sity of East Anglia, Profesor Paul Hunter berkata, wabak berkenaan ditakuti mampu bermutasi dan boleh berubah menjadi sesuatu yang jauh lebih berbahaya sehingga sukar dirawat.

“Walaupun mudah bagi negara-negara maju untuk membendung penyakit dalam bentuk semasa, jika ia sampai di United Kingdom (UK), Eropah atau AS, kesannya akan sama seperti penyebaran wabak Ebola.

“Kami mungkin berdepan beberapa kes terpencil tetapi tidak sepatutnya tersebar seperti di Madagascar. Apa yang paling ditakuti adalah apabila wabak itu mula bermutasi dan menjadi kebal terhadap ubat atau vaksin,” kata Hunter.

Sebanyak 10 negara benua Afrika telah mengambil langkah ber­jaga-jaga dan mengarahkan ba­hagian kesihatan bersedia de­ngan sebarang tanda-tanda jangkitan bagi mengelak penularan wabak aneh itu.