BBC melaporkan, Suhu turun mendadak sehingga -30 darjah Celsius di Chicago dan keadaan itu lebih sejuk berbanding beberapa kawasan di Antartika, manakala North Dakota pula merekodkan suhu serendah -37 darjah Celsius.

Cuaca sejuk tersebut memberi kesan terhadap kira-kira 250 juta penduduk AS makala 90 juta daripadanya pula berdepan dengan suhu -17 darjah Celsius atau lebih rendah.

Salji diramalkan turun sepanjang hari ini bermula dari Great lakes ke New England ketika fenomena sama juga bakal melanda negeri Wisconsin membawa salji setebal 60 sentimeter (cm) diikuti Illinois (15 cm).

Pakar meteorologi Agensi Cuaca Kebangsaan AS (NWS) di Illinois, Ricky Castro berkata, cuaca sejuk melampau itu mungkin tercatat dalam sejarah negara ini dengan beberapa negeri sebelum ini diisytiharkan darurat.

Grand Forks dan North Dakota direkodkan negeri paling sejuk pagi semalam dengan purata suhu serendah -54 darjah Celsius.

Dalam pada itu, kira-kira 20 juta penduduk di benua AS dijangka berdepan suhu serendah -28 darjah Celsius atau lagi rendah sehingga penghujung ming­gu ini.

Agensi berita Associated Press semalam melaporkan bahawa, dua penduduk Michigan ditemukan maut di rumah mereka.

Menurut pihak berkuasa, seorang daripada mangsa dipercayai bertindak luar kawalan apabila keluar dalam keadaan cuaca sejuk tanpa memakai baju bersesuaian.

Kelmarin, seorang lelaki warga emas berusia 55 tahun ditemukan mati di dalam sebuah garaj di Wisconsin dan seorang lagi lelaki maut selepas dilanggar jentera membersihkan salji di sini.

Pihak berkuasa di Iowa turut mengingatkan penduduknya supaya ‘tidak menarik nafas begitu kuat dan kurangkan bercakap’ jika keluar dari rumah. – AGENSI