Kebanyakan syarikat dan premis perniagaan mengarahkan supaya pekerja mereka duduk di rumah tanpa perlu datang bekerja, selain banyak sekolah ditutup dan lebih 2,700 penerbangan dibatalkan bagi menghadapi fenomena Vorteks kutub.

VORTEKS KUTUB

Fenomena tersebut membawa angin sejuk melampau, menyebabkan suhu boleh menurun sehingga -53 darjah Celsius, malah keadaan itu juga mampu menyebabkan seseorang terkena radang dingin atau ‘frost bite’ jika berada di tempat terbuka selama 10 minit.

Vorteks kutub juga menyaksikan perkhidmatan pos tergendala seketika di Iowa apabila salji tebal dan angin kencang menyukarkan operasi penghantaran dilakukan.

SUHU TURUN

Suhu yang dicatatkan di puluhan negeri bermula dari Dakota ke Ohio dijangka menjadi paling sejuk pernah direkodkan.

Agensi Cuaca Kebangsaan AS (NWS) meramalkan, suhu serendah antara -23 hingga -40 darjah Celsius bakal melanda bahagian Midwest, Amerika Syarikat hari ini dengan Chicago yang merupakan bandar ketiga AS paling besar dijangka lebih sejuk berbanding beberapa bahagian di benua Antartika yang ketika ini sedang mengalami pertengahan musim panas.

“Vorteks kutub paling sejuk yang pernah melanda setakat ini sedang bergerak dari selatan ke Upper Midwest sebelum bergerak ke dua pertiga bahagian timur negara.

“Suhu sejuk melampau dan mengancam nyawa bakal melanda bermula dari bahagian Upper Midwest sehingga Great Lakes dan seterusnya ke Lembah Ohio,” jelas agensi tersebut.

PERINTAH DARURAT

Pihak berkuasa di Illinois, Michigan dan Wisconsin mengeluarkan perintah darurat bagi mengawal keadaan dan mengurangkan risiko perkara tidak diingini daripada berlaku.

Dalam pada itu, kira-kira 160 buah pusat ‘pemanasan’ dibuka di sini untuk kegunaan penduduk manakala pihak berkuasa di Minneapolis membenarkan orang ramai duduk dalam bas awam dan tren bagi memanaskan badan ketika cuaca sejuk memuncak.

Di bahagian selatan dan timur laut negara ini, salji mula turun, selain perintah darurat dikeluarkan di Washington dengan bantuan diutamakan untuk golongan gelandangan.

Di Atlanta, kira-kira 300 buah penerbangan dibatalkan, manakala 400 lagi penerbangan di bandar ini turut terjejas.

Selain itu, sekurang-kurangnya empat kematian dikaitkan dengan keadaan cuaca sejuk tersebut termasuk seorang lelaki maut akibat terperangkap dalam runtuhan salji di sini dan sepasang kekasih terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan mereka terbabas melanggar kenderaan lain dari arah bertentangan di utara Indiana.

TEMPIAS SAMPAI KANADA

Kanada turut terkena tempias vorteks kutub apabila kerajaan mengeluarkan amaran mengenai cuaca sejuk yang melanda ketika ini disifatkan sebagai berbahaya.

Ratusan penerbangan di negara itu juga terpaksa dibatalkan ekoran salji tebal melanda kawasan lapangan terbang.

Sementara itu, para saintis menegaskan bahawa perubahan iklim menyebabkan lebih banyak cuaca melampau terjadi dan satu teori menyebut bahawa vorteks kutubArtik berlaku kerana pemanasan global semakin ketara di Kutub Utara. – Afp