Hospital-hospital di Britain, kawal selia pentadbiran Rusia, sistem kereta api Jerman dan syarikat besar seperti FedEx antara yang terjejas teruk apabila sistem komputer mereka dikunci oleh sebuah program ‘ransomware’ yang menuntut ‘wang tebusan’ sebanyak AS$300 (RM1,302) sehingga AS$600 (RM2,605) bagi memulihkan semula sistem ma­sing-masing.

Para penyelidik daripada syarikat keselamatan siber Avast mengesan 75,000 ‘jangkitan’ melalui pelbagai virus perisian antaranya WannaCry di 99 negara dengan Rusia, Ukraine dan Taiwan sebagai sasaran utama.

Negara-negara Asia hari ini dilaporkan tidak terjejas teruk tetapi beberapa pegawai di negara rantau itu berhempas pulas memeriksa tahap kerosakan yang kemungkinan tidak dapat dipastikan dalam waktu terdekat ini.

Agensi berita rasmi China, Xinhua melaporkan, beberapa sekolah menengah dan universiti terjejas namun tidak memperincikan jumlah yang terlibat.

Hospital dan klinik di Britain mengalami gangguan paling teruk sehingga memaksa pihak berkenaan tidak menerima pesakit selepas sistem komputer gagal diakses, semalam.

Syarikat FedEx Corp. memaklumkan, beberapa komputer dengan perisian Windows turut terjejas namun langkah-langkah pemulihan sedang dilakukan secepat mungkin.

Beberapa syarikat di Sepanyol termasuk syarikat telekomunikasi gergasi, Telefonica, syarikat janakuasa Iberdrola dan Gas Natural turut terjejas.

Penggodam siber didakwa memperdaya mangsa agar membuka perisian yang mempunyai virus cecacing (worm) menerusi e-mel sampah (spam) yang mengandungi invois, tawaran pekerjaan dan amaran keselamatan.

Para penyelidik keselamatan memaklumkan mereka mendapati beberapa mangsa telah membuat pembayaran menggunakan mata wang digital, Bitcoin.

Pada April lalu, penggodam yang dikenali sebagai The Sha­dow Brokers mendakwa telah mencuri perkakasan NSA dan mendedahkannya dalam talian.

Walau bagaimanapun menurut Pengurus Symantec, Vikram Thakur, hanya se­dikit sahaja syarikat di AS yang terjejas kerana penggodam dipercayai memulakan kempen mereka dengan menyasarkan syarikat-syarikat di Eropah.

“Sebaik sahaja mereka (penggodam) beralih ke AS, penapis spam me­ngenal pasti ancaman itu dan mengeluarkan amaran,” ujarnya.