Perkara itu diumumkan oleh Kumpulan Penyelidikan Gerontologi selepas individu tertua sebelum ini, Emma Morano dari Itali meninggal dunia pada usia 117 tahun dan 137 hari, 15 April lalu.

Bekas pekerja ladang tebu itu yang turut dikenali sebagai ‘Makcik V’, dilahirkan pada 10 Mac 1900 dan mempunyai resipi tersendiri untuk kekal sihat iaitu mengamalkan memakan tiga biji telur mentah setiap hari.

Walaupun doktor telah memberitahunya diet itu tidak baik untuk kesihatan namun dia masih mengamalkannya sehingga hari ini malah diet memakan telur mentah turut diamalkan Morano.

Selain telur, Mosse-Brown mengamalkan memakan buah-buahan terutama limau dan mang­ga serta keledek, ubi kentang dan buah sukun.

Dia juga amat menggemari ikan dan daging kambing serta kaki lembu namun tidak menyentuh ayam atau babi.

Menurut laporan portal Daily Mail, Mosse-Brown yang mempunyai enam anak dipercayai mewarisi usia panjang daripada ibu bapanya yang juga hidup sehingga usia 96 tahun.

Malah anak lelaki wanita itu, Harold Fairweather telah pun mencecah usia 97 tahun lantas menjadikannya individu tertua di dunia yang masih mempunyai ibu.

Sementara itu, Guinness Book of World Records memaklumkan pihaknya masih mencari beberapa calon sebagai individu paling tua di dunia.