Gambar yang diambil menerusi satelit oleh firma DigitalGlobe pada bulan lalu dan dimuatnaik di laman web firma itu yang berpangkalan di Washington, Pusat bagi Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) menunjukan, kerja-kerja penambakan tanah dilakukan di Sand Cay dan Terumbu London Barat, kedua-duanya terletak di Kepulauan Spratly.

“Antara Ogos 2011 dan Februari 2015 menunjukkan peningkatan ketara (kerja menebus tanah) dijalankan di Sand Cay,’’ kata CSIS, sambil menyatakan keluasan tanah pulau itu berkembang daripada 41,690 meter persegi kepada 62,970 meter persegi.

CSIS berkata, Vietnam juga dilihat menambah pembinaan ‘struktur pertahanan’ termasuk parit pelindung dan tapak senjata.

Di Terumbu Barat yang merupakan sebahagian daripada kumpulan Terumbu London di barat Kepulauan Spratly, sekurang-kurangnya 65,000 meter tanah telah ditambak dengan struktur baharu termasuk sebuah pelabuhan.

CSIS berkata, kerja-kerja itu dipercayai bermula pada Ogos 2012, sebelum Beijing melaksanakan projek tebus tanah pada tahun lalu.

Kepulauan Spratly menjadi pertikaian dalam kalangan negara Asia dengan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara penuntut melahirkan kebimbangan mereka terhadap tindakan China mempercepatkan projek tebus guna tanah secara besar-besaran.

Tindakan China yang menuntut hampir semua Laut China Selatan sama sekali bertindih dengan tuntutan yang dibuat Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan.

“Aktiviti penambakan oleh China jelas dilakukan pada skala berbeza dengan Veitnam yang dilihat cuba mengukuhkan kedudukannya de­ngan membuat tambahan segera,’’ kata pakar Vietnam di Universiti City, Hong Kong, Jonathan London.