Bermula tahun ini, Kedutaan Ukraine di sini merancang pelbagai program bagi memastikan hubungan akrab antara kedua-dua negara melalui diplomasi masyarakat yang lebih efisien seperti filem festival dan pertunjukan fesyen Ukraine.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MD. AZRIN ROSLY bersama Duta Ukraine ke Malaysia, OLEXANDER NECHYTAYLO mengenai perkembangan hubungan bilateral dalam usaha meningkatkan kerjasama dan hubungan seterusnya memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

UTUSAN: Bagaimana tuan melihat perkembangan hubungan bilateral terutama perdagangan antara kedua-dua negara ketika ini?

NECHYTAYLO: Jumlah perdagangan antara kedua negara secara amnya seimbang dengan lebih memihak kepada Malaysia ketika ini. Pada tahun lalu, jumlah perdagangan dua hala merekodkan nilai sebanyak AS$337 juta atau sekitar RM1 bilion. Komoditi utama yang dieksport ke Malaysia adalah minyak bunga matahari manakala Ukraine mengimport barangan elektro­nik dan minyak sawit.

Ukraine merupakan satu daripada pengguna minyak sawit terbesar di timur Eropah, menyak­si­kan peningkatan 84 peratus import dari Malaysia, tahun lalu.

Pada tahun ini, kita menyasarkan nilai dagangan akan meningkat kepada AS$400 juta (RM1.6 bilion). Nampak macam bercita-cita tinggi namun boleh dicapai melihat kepada permintaan dan jumlah pembelian yang berkembang. Contoh terbaharu, coklat hitam yang terkenal di Ukraine sudah mula mema­suki pasar raya terkemuka di Kuala Lumpur.

UTUSAN: Sektor pelancongan dilihat an­tara bidang yang mahu ditingkatkan dan perancangan terbaharu?

NECHYTAYLO: Setiap bulan, lebih 1,000 pelancong Ukraine datang ke Malaysia dan secara keseluruhan, kira-kira 13,000 ke 14,000 orang tahun lalu menyaksikan peningkatan sebanyak 10 peratus.

Bagaimanapun, kita juga mahu lebih ramai pelancong Malaysia ke Ukraine yang masih dalam jumlah kecil iaitu kurang 1,000 orang setahun.

Sehubungan itu, kita akan meningkatkan usaha dalam sektor ini dengan pembentangan bersama operator pelanco­ngan di sini termasuk lawatan menyesuaikan diri ke Ukraine pada Ogos atau September tahun ini.

Ukraine menawarkan banyak pilihan kepada pelancong antaranya kita mempunyai enam Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), tempat bermain luncur ais, makanan, hiburan malah pelancongan ekstrem se­perti melihat pekan tinggal ekoran bencana nuklear Chernobyl.

Ketika ini, tiada penerba­ngan langsung ke Ukraine namun terdapat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur yang akan transit di Bangkok sebelum ke Kiev.

Sementara itu, sekiranya penumpang memilih untuk transit di Istanbul, penerbangan hanya mengambil masa sekitar sejam 20 minit untuk sampai ke Kiev.

UTUSAN: Bagaimana pula bagi soal makanan halal di Ukraine yang dititik berat pelancong ber­agama Islam?

NECHYTAYLO: Ukraine mempunyai pendu­duk minoriti Muslim Crimean Tar­tar berasal dari Crimea yang berhijrah ke negara ini berikutan tidak mahu mendapat kerakyatan Rusia.

Sehubungan itu, mereka telah menjadi penduduk negara ini seterusnya membuka jalan kepada industri halal yang menyaksikan pertambahan restoran dan kedai halal dibuka di Ukraine.

UTUSAN: Apakah prosedur kemasukan ke Ukraine bagi rak­yat Malaysia?

NECHYTAYLO: Bagi rakyat Malaysia, mereka boleh memohon visa secara dalam talian ataupun datang ke kedutaan bagi membuat permohonan.

Bagaimanapun, saya berhasrat dan sedang berusaha se­jak mula bertugas pada 2016 untuk meminta pihak berkuasa Ukraine mengatur supaya rakyat Malaysia tidak lagi memerlukan visa.

Harap dapat direalisasikan sebelum tamat tempoh saya bertugas di sini. Mungkin ini dapat membantu meningkatkan dan menarik lagi kedatangan pelancong.