Misi penghantaran manusia ke bulan yang akan direalisasikan pada hujung tahun depan itu dilakukan dengan kerjasama Agensi Pentadbiran Angkasa Le­pas dan Aeronautik (NASA).

Ketua Pegawai Eksekutif Spa­ce­X, Elon Musk berkata, ketika ini, kedua-dua individu yang enggan dikenali itu telah membayar wang pendahuluan untuk tujuan tersebut.

“Inilah peluang untuk manusia kembali ke bulan buat kali pertama dalam tempoh 45 tahun,” kata Musk seperti dilaporkan BBC News baru-baru ini.

Menurut Musk, kedua-dua in­dividu terbabit juga dijangka me­nikmati perjalanan yang lebih cepat ke bulan berbanding sebelum ini.

Musk yang enggan mendedahkan nama dan menafikan kedua-dua individu itu dari Hollywood, menyatakan kedua-duanya saling mengenali satu sama lain.

“Seperti angkasawan Apollo se­be­lum mereka, dua ‘pelancong angkasa’ ini juga akan membawa bersama harapan dan impian se­tiap manusia untuk meneroka apa yang ada di sana.

“Oleh itu, kami menjangkakan ujian kecergasan dan kesihatan serta latihan awal bagi kedua-dua mereka dapat dijalankan bermula tahun ini,” kata bilionair tersebut.

Jelas Musk, misi angkasa pertama syarikat itu akan dilancarkan tanpa pemandu manakala misi berikutnya yang dijangka pada suku kedua tahun depan pula di­sertai oleh anak kapal berkenaan.

“Para penumpang kapal ang­kasa kami juga sedia maklum bahawa penerbangan ini mempunyai risiko tertentu,” kata beliau sambil menambah pihaknya sedang berusaha untuk mengurang risiko berkenaan.

Dalam misinya nanti, kapal angkasa pelancongan itu dijang­ka hanya mengelilingi bulan tan­pa melakukan pendaratan. - AGENSI