Berdasarkan laporan Reuter, hanya tinggal empat lagi remaja dan seorang jurulatih yang masih berada dalam gua ber­kenaan selepas pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan empat yang lain hari ini.

Kumpulan pemain bola sepak itu dan jurulatihnya terperangkap dalam gua berkenaan pada 23 Jun lalu selepas hujan lebat menyebabkan laluan keluar di gua itu dipenuhi air dan mereka ditemukan selamat oleh penyelam pada minggu lalu.

Empat remaja telah berjaya dibawa keluar semalam tetapi misi menyelamat dihentikan sementara untuk mengantikan tabung oksigen bagi operasi menyelamat yang kompleks.

Sebelum pengesahan empat lagi remaja diselamatkan hari ini, helikopter ambulans dilihat me­ninggalkan kawasan gua dan tiba di hospital berdekat­an dengan bandar berhampiran Chiang Rai.

Para penyelamat telah memutuskan untuk meneruskan operasi mengeluarkan remaja dan jurulatih yang terperangkap ke­rana bimbang air dalam gua berkenaan akan meningkat lagi.

Usaha menyelamat adalah sukar kerana setiap bahagian gua memerlukan penyelamat menyelam dan ruang yang sempit dan juga perlu memanjat.

Menu­rut Ke­tua Misi Me­nyelamat, Narongsak Osot­tanakorn, usaha menyelamat diteruskan pada pukul 11 pagi (waktu tempatan hari ini dan berakhir pada pukul 9 malam.

Beliau berkata, lebih ramai ‘kakitangan’ digunakan berban­ding operasi semalam.

Kesemua 12 orang penyelam sama akan meneruskan operasi hari ini kerana mereka tahu akan selok-belok dan bagaimana me­laksanakan operasi menyelamat tersebut.

Nama pemain bola sepak itu yang di­selamatkan tidak diumumkan sebagai menghormati keluarga remaja yang masih berada dalam gua.

Bagaimanapun, empat rema­ja terawal yang berjaya di­selamatkan dikenali sebagai Prajak Sutham, 14; Pipat Bodhi, 15,; Monhkhol Boonpiam, 13, dan Nattawut ‘Tle’ Takamsai, 11,.

Menteri Dalam Negeri Thailand, Jeneral Anupong Paojinda mengesahkan remaja berkenaan berada dalam keadaan baik dan diberikan rawatan perubatan di Hospital Prachanukroh. – AFP/BERNAMA/AGENSI