Sehingga lewat malam tadi, 21 menteri yang bermesyuarat sehari suntuk semalam masih tidak mencapai persetujuan berhubung penggunaan perkataan ‘protectionism’ dan ‘free trade”.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pertikaian timbul kerana Amerika Syarikat kurang senang dengan penggunaan perkataan ‘protectionism’ (perlindungan) dan mahu menggunakan ‘free trade’ (perdagangan bebas).

“Sedangkan kalangan anggota APEC lain pula mahu mengekalkan perkataan tersebut ekoran kebimbangan mereka terhadap globalisasi dan sistem perdagangan multilateral,” katanya di sini.

Sehubungan itu, Mustapa memberitahu menteri-menteri APEC akan menyambung lagi perbincangan hari ini bagi mencari kata sepakat.

Sambil menyifatkan apa yang berlaku sebagai sesuatu yang di luar kebiasaan, beliau bagaimanapun memahami tindakan AS memandangkan Washington perlu mengimbangi pengaruh China, Jepun dan Malaysia dari segi nilai dagangan yang dianggap berat sebelah.

Mustapa mengakui agak sukar untuk mencapai konsensus dan tidak menolak kemungkinan yang perkara itu akan dibawa ke peringkat ketua-ketua kerajaan sekiranya masih gagal mencapai kata sepakat.- UTUSAN ONLINE

Video Oleh MARHAINI KAMARUDDIN