Paling mendapat perhatian dunia adalah tindakan nekad seorang anggota polis menembak mati Duta Rusia ke Turki, Andrei Karlov, 62, ketika berada di sebuah pusat pameran kesenian di Ankara, semalam.

Suspek, Mevlut Mert Altintas, 22, yang tidak bertugas pada waktu itu didakwa menggunakan lencana polis untuk memasuki ruang pameran tersebut semata-mata untuk mendekati Karlov.

Kejadian penuh dramatik itu bermula sebaik sahaja Karlov bangun untuk memberikan ucapan sebelum Altintas mengambil kesempatan menembak diplomat veteran itu dari arah belakang.

Rakaman video yang tersebar mengenai kejadian itu menunjukkan Altintas memegang pistol sambil melaungkan kalimah ‘Allahu­akbar’ dan bertutur dalam bahasa Arab.

Antara butir percakapannya seperti dilaporkan Mail Online adalah: “Kami pewaris Nabi Muhammad SAW yang akan menyokong baginda ke jalan jihad.”

Altintas juga dikatakan menjerit beberapa perkataan termasuk ‘Ja­ngan Lupakan Syria’, dan ‘Jangan Lupakan Aleppo’ serta berkata: “Semua yang bersubahat dalam kezaliman ini (konflik di Syria) akan dipertanggungjawabkan nanti.”

Anggota polis itu bagaimanapun ditembak mati oleh pasukan keselamatan selepas enggan menyerah diri susulan tragedi berkenaan.

Ekoran tragedi yang sama, ibu, bapa, adik perempuan bersama dua lagi saudara Altintas serta seorang rakan serumahnya ditahan sepasukan polis Turki untuk disoal siasat.

Sementara itu, Al-Jazeera me­laporkan, polis kini sedang menyi­asat perkaitan antara Altintas de­ngan pemimpin antikerajaan Turki yang berlindung di Amerika Syarikat (AS) ketika ini, Fethullah Gulen.

Gulen didakwa menjadi dalang komplot rampasan kuasa oleh tentera Turki terhadap kerajaan negara ini pada Julai tahun lalu hingga menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Gulen dalam satu kenyataan balasnya bagaimanapun menafikan pembabitan dalam tragedi itu sambil mengutuk keras pembunuhan tersebut. – AFP/REUTERS