Laporan China Digital Times menyebut, kejadian yang berlaku pukul 11 pagi itu mengakibatkan empat daripada kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bertarikh 2 Oktober itu menunjukkan pasangan suami isteri berkenaan sedang memegang tangan keempat-empat anak mereka sambil berjalan di bahu kanan jalan tersebut apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda tiba-tiba muncul dari arah belakang melanggar enam sekeluarga itu mengakibatkan kesemua mangsa melambung dan tercampak ke tengah jalan.

Si suami pula diheret kira-kira 100 meter dari tempat kejadian sebelum pemandu pacuan empat roda berkenaan memberhentikan kenderaan di kiri jalan.

Dua kanak-kanak yang terselamat dalam kejadian tersebut turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Yunan.

Beberapa pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian itu bertindak pantas menangkap pemandu itu daripada melarikan diri.

Berdasarkan laporan, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu pacuan empat roda tersebut yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu hingga tidak menyedari keadaan di sekeliling.

Pemandu itu kemudiannya ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ramai netizen yang menyaksikan video kemalangan tersebut mengutuk dan mendesak pihak berkuasa mengenakan hukuman yang berat terhadap pemandu yang cuai itu agar menjadi pengajaran kepada pemandu lain.