Kebanyakan yang cedera di benarkan pulang selepas diberikan rawatan di hospital.

Menurut Komander Polis, Mejar Jeneral Thanongsak Wangsupa, letupan itu merupakan yang kedua, menyusul selepas letupan pertama di sebuah tempat letak kenderaan berhampiran pasar raya itu.

Dalam kejadian pertama, sebuah motosikal yang sarat bahan letupan meletup di tempat letak kenderaan pasar raya Big C, menyebabkan pengunjung pasar raya berkenaan bertempiaran menyelamatkan diri.

“Letupan kedua merupakan bom kereta,’’ katanya.

Seorang lagi pegawai polis, Kapten Preecha Prachumchai berkata, letupan kedua lebih ‘besar’.

Rakaman video yang dimuat naik menerusi Twitter oleh saksi menunjukkan letupan kedua menghasilkan bola api besar menyebabkan mereka yang berada berhampiran bangunan itu bertempiaran mencari perlindungan.

Polis yang berada di tempat kejadian dilihat cuba menghalang orang ramai ketika letupan ke­dua berlaku.

Gambar-gambar yang dimuat naik anggota penyelamat turut memaparkan asap hitam tebal di tempat letak kenderaan pasar raya itu dan kerosakan di bahagian pintu masuk bangunan berkenaan.

Menurut seorang penduduk yang tinggal berhampiran pasar raya itu, dia mendengar letupan kuat dan beberapa minit kemudian kedengaran siren ambulans dan kenderaan penyelamat.

Pihak polis menyifatkan se­rangan itu adalah yang terbesar sejak beberapa bulan lalu yang menyasarkan orang awam di kawasan yang bergolak. – AFP