Rang undang-undang itu ba­gai­manapun hanya diluluskan selepas perdebatan hangat yang berlarutan selama 100 jam sejak beberapa hari lalu.

Jika menjadi kenyataan kelak, undang-undang yang dijangka berkuat kuasa mulai Jun 2019 itu membolehkan mana-mana pesakit yang sedang tenat mengambil ubat khas untuk menamatkan riwayat hidup ma­sing-masing.

Menteri Utama Victoria, Daniel Andrews yang menyokong rang undang-undang tersebut berkata, dia berbangga kerana berpeluang ‘membantu’ pesakit daripada terus menderita.

“Victoria adalah negeri pertama yang berbuat demikian dan langkah ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pesakit tenat untuk mengakhiri hayat masing-masing dengan penuh penghormatan,” katanya.

Bagaimanapun, hanya waris kepada pesakit tenat berusia 18 tahun ke atas dibenarkan berbuat demikian setakat ini.

Selain itu, undang-undang tersebut juga dihadkan kepada pesakit yang tinggal di Victoria dan mempunyai tempoh kurang daripada enam bulan untuk hidup berbanding cadangan asal iaitu 12 bulan.

Pada masa yang sama, pemohon sama ada daripada kalangan pesakit atau waris mereka perlu dibuat melalui beberapa orang doktor mereka.

Jika permohonan tersebut diluluskan, pesakit akan diberi peluang untuk melakukan sendiri kaedah euthanasia itu atau melakukannya dengan bantuan doktor jika tidak berdaya.

Kaedah euthanasia secara umumnya tidak diterima pakai di kebanyakan negara ketika ini termasuk di Australia sehingga hari ini walaupun undang-undang itu dilaporkan pernah dilaksanakan di Wilayah Utara negara ini sebelum ini. – AFP