Usaha itu termasuk mengeluarkan seorang kanak-kanak perem­puan berusia 12 tahun yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan sekolah dekat sini.

Menurut siaran berita tempatan, Televisa, pasukan penyelamat dapat berkomunikasi dengan kanak-kanak perempuan, Frida Sofia.

Frida memberi reaksi dengan menggoyangkan jarinya selepas pasukan penyelamat bertanya jika dia masih hidup.

Televisa merakamkan ibu bapa kanak-kanak tersebut menunggu dengan penuh sabar di luar tapak runtuhan Sekolah Enrique Rebsamen yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 21 murid dan empat dewasa.

Selain itu, pasukan penyelamat turut memaklumkan seorang guru dan dua murid yang terpe­rangkap di dalam runtuhan sekolah itu dipercayai masih hidup selepas mereka dikatakan menghantar pesanan ringkas kepada ahli keluarga masing-masing.

Pasukan itu berdepan dengan kesukaran untuk melakukan operasi mencari serta menyelamat ekoran struktur runtuhan yang tidak stabil dan dikhuatiri akan memburukkan keadaan.

Pihak berkuasa menolak untuk menggunakan jentera berat selagi ada tanda-tanda mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

Sekurang-kurangnya 250 orang terbunuh selepas gempa bumi sekuat 7.1 pada skala Richter menggegarkan kawasan tenggara Mexico City kelmarin, dalam tempoh 32 tahun sejak kejadian gempa pada 1985 yang meragut ribuan nyawa. – AGENSI