Beliau berkata, apa yang berlaku di Syria adalah mereka yang cuba mendokumenkan perlanggaran hak asasi sama ada ditahan, didera mahupun dibunuh.

Menurutnya, konflik Syria ditentukan dengan cara tidak dihiraukan secara mutlak walaupun pada piawaian minimum prinsip dan undang-undang.

“UNSC tidak mempedulikan pengorbanan wira seluruh Syria malah mereka tidak mengambil tindakan tegas mempertahankan hak asasi manusia dan menghalang kehilangan nyawa,” katanya di sini semalam.

Zeid berkata demikian pada pertemuan tidak rasmi PBB sejurus selepas taklimat yang sepatutnya disampaikan oleh beliau di UNSC disekat apabila Rusia me­minta undian prosedur diadakan.

Sebanyak 15 anggota UNSC ha­dir pada mesyuarat tidak rasmi itu.

Zeid menyelar penggunaan kuasa veto di majlis itu untuk melindungi penjenayah kemanusiaan dan jenayah perang di Syria dan negara lain daripada dibawa ke muka pengadilan.

Rusia yang merupakan sekutu Presiden Syria, Bashar Al-Assad menggunakan kuasa veto lebih 10 kali di UNSC atas kemungkinan tindakan badan itu ke atas Syria sejak perang saudara meletus pada 2011.

“Kegagalan melindungi nyawa dan hak asasi berjuta-juta penduduk menghancurkan kuasa PBB,” kata Zeid.

Dalam perkembangan ber­asingan, Amerika Syarikat (AS) didakwa terus menyokong dan melindungi saki-baki pemberontak di kawasan timur Syria dengan memindahkan mereka menerusi helikopter.

Menurut sumber, tiga helikopter AS mendarat di antara perkampu­ngan al-Jissi dan Kalu dekat bandar Tal Hamis, tenggara Qamish­li.

Jelas sumber itu, tentera AS mengiringi empat individu yang tinggal di sebuah rumah dikenal pasti sebagai pusat bagi pemimpin Daesh dari Iraq sebelum membawa mereka ke lokasi rahsia.

Pada 26 Februari lalu, dua helikopter AS mendarat di kawasan Twaimin dengan membawa beberapa anggota militan Daesh ke Sabah al-Kheir yang digunakan tentera AS sebagai pusat latihan kumpulan pengganas.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan, sekurang-kurangnya 79,702 penduduk Ghouta Timur, kebanyakannya kanak-kanak telah dipindahkan sejak operasi kemanusiaan bermula di bandar tersebut. – REUTERS/AGENSI