Majlis itu juga akan mendengar taklimat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres tentang krisis berkenaan.

Mesyuarat berkenaan adalah atas permintaan Perancis, Britain, Amerika Syarikat (AS) dan empat negara bukan anggota tetap majlis berkenaan iaitu Mesir, Kazakhstan, Senegal dan Sweden.

PBB melihat operasi ketente­raan di Myanmar sebagai ‘penghapusan etnik’ manakala Pre­siden Perancis, Emmanuel Macron pada mi­nggu lalu menyifatkannya sebagai ‘pembu­nuhan beramai-ramai’.

Anggota UNSC ju­ga akan mendapatkan perkem­bangan terbaharu pergolakan di Myanmar menjelang taklimat rasmi oleh Guterres yang dilakukan secara terbuka.

Agensi itu turut menggesa ‘langkah segera’ dilakukan untuk menghentikan keganasan di Myanmar.

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch mendakwa Myanmar me­lakukan jenayah kemanusiaan da­lam kempen menentang kumpulan pemberontak di Rakhine dan menggesa UNSC mengenakan sekatan termasuk sekatan senjata.

Myanmar menafikan tuduhan itu dengan alasan tiada bukti dan kerajaan berhak untuk melindu­ngi haknya.

Pengarah Polisi dan Undang-undang pertubuhan itu, James Ross berkata, tentera Myanmar telah mengusir secara kekerasan terhadap etnik Rohingya di utara Rakhine.

“Pembunuhan beramai-ramai penduduk kampung dan pembakaran yang sengaja dilakukan menyebabkan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing adalah jenayah kemanusiaan,” katanya.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa mentafsir jenayah kemanusiaan adalah tindakan termasuk ‘pembunuhan, penyeksaan, rogol dan pengusiran yang dilakukan secara besar-besaran atau serangan sistematik yang menyasarkan jumlah orang awam tertentu dengan mempunyai pengetahuan tentang serangan terbabit’.

Jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay berkata, tuduhan tanpa sebarang bukti kukuh adalah berbahaya dan menyukarkan kerajaan mengendalikan perkara tersebut.

Selama bertahun-tahun AS dan sekutu Barat mengenakan sekatan terhadap Myanmar sebagai sokongan kepada kempen demokrasi pe­mimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang ketika itu dikenakan tahanan rumah.

Namun menerusi krisis terba­haru itu, AS hanya mengkritik kempen ketenteraan sebagai ‘tidak wajar’ dan menggesa ditamatkan keganasan namun pentadbiran Presiden Donald Trump tidak bercadang mengenakan sekatan.

Kempen ketenteraan itu setakat ini menyebabkan 440,000 orang menjadi pelarian di Bangladesh. – AFP/REUTERS