Namun institusi pengajian tinggi terbabit bakal berdepan cabaran besar dan mungkin beri­siko kehilangan dana, pe­ngaruh antarabangsa serta para saintis dan cendekiawan susulan tindakan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit.

Sejak beberapa tahun lalu, lebih daripada satu persepuluh daripada pembiayaan penyelidikan di universiti-universiti Bri­tain termasuk beberapa bidang utama seperti nanoteknologi dan penyelidikan mengenai kanser bergantung kepada pembiayaan daripada EU.

Menurut laporan oleh firma teknologi Digital Sains, dari 2007 hingga 2013, Britain menerima hampir 8.8 bilion euro (RM41.09 bilion) pelaburan langsung oleh EU dalam bidang penyelidikan.

Seperti kebanyakan ahli sains asing di Britain, pensyarah Bio­logi, Joanna Bagniewska yang telah membina kerjaya akademiknya di negara ini sejak sedekad lalu, turut merasa tergugat dengan senario itu.

“Saya bimbang jika kontrak saya tamat, salah satu prasyarat yang mungkin dikenakan untuk meneruskan kerjaya di sini adalah kad penduduk tetap. Saya juga ingin memohon wang geran penyelidikan EU. Tetapi berapa lama lagi peluang itu masih boleh diperoleh setelah Britain keluar daripada kesatuan itu,” katanya.

Menurut Bagniewska, beliau bukan sahaja bimbang tentang dirinya tetapi masa depan penuntutnya kerana peluang melebarkan sayap semakin sukar ekoran beberapa perkara yang terbatas akibat situasi tersebut.

Ahli-ahli sains dan penyelidik berpendapat bahawa menjadi sebahagian daripada EU telah memberikan bidang sains Bri­tain rangsangan yang besar. – AGENSI