Wakil Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata UNGA akan me­ngundi draf resolusi bagi menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

Terdahulu, AS menggunakan kuasa veto untuk menolak draf resolusi PBB bagi membatalkan keputusan Trump itu walaupun 14 negara anggota menyokong draf berkenaan.

Tambah Riyad, beliau berharap agar sokongan padu diberikan di dalam Perhimpunan Agung terhadap resolusi terbabit.

Dalam perkembangan sama, Duta AS ke PBB, Nikki Haley memberi amaran akan ‘mencatat nama’ negara yang menyokong draf resolusi menolak keputusan AS.

“Trump akan memantau setiap undian dengan teliti dan meminta saya supaya melaporkan negara yang mengundi menentang kami.

“Kami juga akan memberi perhatian terhadap setiap undi berhubung isu ini,” katanya di dalam surat yang dihantar kepada beberapa duta PBB semalam.

Di bawah resolusi 1950, satu sesi tergempar boleh diadakan untuk UNGA mempertimbangkan sesuatu isu, bertujuan untuk memberi cadangan kepada negara anggota membuat tindakan kolek­tif, sekiranya Majlis Keselamatan gagal bertindak.

Kali terakhir sesi tergempar diadakan adalah berhubung isu Baitulmuqaddis Timur dan wilayah Palestin yang diceroboh pada 2009.

Israel mengambil alih penguasaan ke atas Baitulmuqaddis semasa Perang Asia Barat 1967 dan melihat bandar itu sebagai ibu negara mereka ketika Palestin meng­anggap Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara kepada sebuah negara Palestin.

Awal bulan ini, Trump telah mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara baharu Israel dan turut mengarahkan pejabat kedutaan AS berpindah dari Tel Aviv ke situ.

Susulan keputusan drastik itu, OIC telah menganjurkan Sidang Kemuncak Luar Biasa di Istanbul, di bawah kepemimpinan Presi­den Turki, Recep Tayyip Erdogan selaku Pengerusi OIC baru-baru ini.

Dalam sidang kemuncak itu, OIC sebulat suara mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin dan menyelar sebarang cubaan atau usaha untuk me­ngubah sejarah dan status bandar tersebut.

Malahan, tindakan Trump itu secara tidak langsung akan merencatkan proses damai antara Israel dan Palestin selain meningkatkan ketegangan sedia ada.

Namun, kuasa veto yang dilaksanakan oleh AS boleh dibatalkan menerusi Resolusi 377A iaitu Uniting for Peace di dalam UNGA sebagai satu tindakan untuk mencapai keamanan.

Resolusi tersebut boleh digunakan sekiranya lima negara kuasa veto gagal untuk bertindak seperti sepatutnya dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Selain itu, resolusi berkenaan pernah digunakan sebelum ini ketika krisis Suez pada 1956 untuk membatalkan kuasa veto oleh Britain dan Perancis dan pernah beberapa kali dilaksanakan.

Resolusi 377A diperkenalkan selepas Kesatuan Soviet menyekat bantuan kepada Korea Selatan selepas diserang oleh Korea Utara pada 1950. – AGENSI