Pusat-pusat Islam dan masjid menyediakan makanan dan memberikan sumbangan kepada penduduk tanpa mengira kaum walaupun ketika umat Islam di bandar ini menyambut perayaan Aidiladha.

Persatuan Pemimpin Islam Greater Houston dalam kenya­taan berkata, penduduk yang diberikan perlindungan di pusat berkenaan tidak dipindahkan walaupun umat Islam terpaksa me­nunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan tempat letak kereta.

Para pemimpin Islam menegaskan apa yang dilakukan adalah sesuai dengan sambutan Aidiladha yang menggalakkan umatnya berkorban seperti ke­sediaan Nabi Ibrahim SAW untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail demi menunaikan perintah Allah SWT.

Dianggarkan lebih 200,000 orang Islam tinggal di kawasan bandar Houston yang dibadai taufan Harvey sejak awal minggu ini.

Sehingga kini, 44 orang dilaporkan terbunuh dan lebih daripada satu juta penduduk di kawasan Pantai Teluk di Texas terpaksa dipindahkan.

Penduduk bandar Texas yang berdepan bencana banjir turut dilaporkan terputus bekalan air minuman ketika polis dan tentera berusaha menyelamatkan ribuan lagi yang masih terkandas.

“Sejumlah 779,000 penduduk Texas diarah meninggalkan rumah mereka manakala 980,000 lagi berpindah secara sukarela berikutan bahaya banjir akibat sungai dan takungan yang mula melimpah,” kata Setiausaha Ja­batan Keselamatan Dalam Ne­geri, Elaine Duke.

Letupan juga berlaku di sebuah kilang kimia kira-kira 40 ki­lometer di timur Houston selepas ia dilanda air banjir.

Masalah bekalan air dan risiko kesihatan akibat banjir adalah antara bahaya yang timbul selepas taufan paling kuat itu melanda Texas dalam tempoh setengah abad dan menyebabkan kemusnahan di kawasan lebih 480 kilometer di sudut tenggara negara ini. – REUTERS